PENGENALAN
KESATUAN PEKERJA-PEKERJA JABATANPERTANIAN SABAH
1. Nama dan Pejabat yang berdaftar
(1) Adapun nama Kesatuan Sekerja yang telah ditubuhkan menurut Peraturan-Peraturan ini ialah Kesatuan Pekerja-Pekerja Jabatan Pertanian Sabah. (yang disebut “Kesatuan” di dalam ini).
(2) Pejabat Kesatuan ini yang didaftarkan di Pusat Penyelidikan Pertanian, P. S. Bil 3, 89207 Tuaran.
2. Tujuan
(1) Adapun tujuan-tujuan Kesatuan ini ialah untuk:-
(a) Mengadakan sebuah pertubuhan bagi pekerja-pekerja seperti yang ditentukan di bawah Peraturan 3(1) dan memajukan kepentingan ahli-ahlinya dalam hal perusahaan, kemasyarakatan dan pengetahuan.
(b) Memperoleh dan mengekalkan bagi ahli-ahlinya sukatan gaji yang adil dan sesuai, keselamatan bekerja, masa dan syarat-syarat bekerja yang berpatutan dan juga memberi nasihat dan bantuan tentang hal-hal yang tersebut.
(c) Mengatur perhubungan di antara pihak majikan dengan pekerja, di antara ahli dengan ahli atau di antara ahli dengan lain-lain pekerja, dan berikhtiar untuk menyelesaikan sebarang perselisihan di antara mereka itu dengan amandamai dan bermuafakat. Tujuan ini termasuk usaha-usaha dan kerjasama membantu pihak majikan meningkatkan daya pengeluaran serta mutu perkhidmatan dan mutu pentadbiran di tempat kerja dengan matlamat akhir meningkatkan kebajikan dan kemajuan ahli-ahli khususnya dan pekerja-pekerja berkenaan amnya.
(d) Menolong jayakan, dengan wang atau lain-lainnya, kerja atau hasrat sesuatu pertubuhan atau badan yang sah disegi undang-undang yang mempunyai tujuan untuk memajukan kepentingan-kepentingan pekerja, kesatuan sekerja dan ahli-ahli kesatuan sekerja, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Seksyen 50 Akta Kesatuan Sekerja 1959.
(e) Memajukan kebajikan ahli-ahlinya dari segi kebendaan, kemasyarakatan dan pelajaran dengan cara yang sah di segi undang-undang yang difikirkan munasabah oleh persidangan perwakilan atau Majlis Jawatankuasa Agung.
(f) Memberi bantuan guaman kepada ahli-ahli berkenaan dengan pekerjaan mereka itu jika dipersetujui oleh Majlis Jawatankuasa Agung.
(g) Mengadakan bantuan-bantuan, jika dipersetujui oleh Majlis Jawatankuasa Agung, seperti bayaran di masa teraniaya atau di masa pertikaian kerja.
(h) Menganjurkan undang-undang untuk kebajikan ahli-ahli kesatuan ini khasnya dan ahli-ahli Kesatuan Sekerja amnya.
(i) Menyelenggarakan, jika dipersetujui oleh persidangan perwakilan, pekerjaan, mengarang, mencetak, menerbit dan mengedarkan sebarang surat khabar, majalah kertas berita atau lain-lain penerbitan untuk menjayakan tujuan-tujuan Kesatuan ini atau untuk faedah ahli-ahlinya.
(j) Mengadakan kumpulan wang kebajikan, jika dipersetujui oleh persidangan perwakilan, dan menggubalkan peraturan-peraturan untuk mengawali kumpulan wang itu. Peraturan-peraturan itu tidak boleh dijalankan sebelum didaftarkan oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja.
(k) Amnya untuk membuat sebarang pekerjaan yang halal dibuat oleh sesebuah kesatuan sekerja di sisi Undang-Undang.
(2) Tujuan-tujuan ini hendaklah dilaksanakan menurut Peraturan-Peraturan ini dan peruntukan peruntukan Akta Kesatuan Sekerja 1959.
3. Ahli Kesatuan
(1) Keanggotaan kesatuan ini terbuka kepada semua pekerja-pekerja yang bekerja dengan Jabatan Pertanian Sabah kecuali pekerja-pekerja digaji dalam jawatan pengurusan, jawatan eksekutif, dalam urusan-urusan sulit atau dalam jawatan keselamatan dan pegawai perkeranian. Mereka itu hendaklah berumur lebih dari 16 tahun dan mempunyai tempat kerjanya di Negeri Sabah Malaysia dengan syarat seseorang yang masih diberi pelajaran menurut Akta Pelajaran, 1961 tidak boleh menjadi ahli kecuali jika sekiranya ia:-
(a) sebenarnya seorang pekerja menurut takrif Akta Kesatuan Sekerja 1959; dan
(b) berumur lebih dari 18 tahun
(2) Seseorang ahli Kesatuan yang belum sampai 18 tahun umurnya tidaklah berhak mengundi atas tiap-tiap perkara yang tersebut di bawah ini:-
(a) mogok dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;
(b) mengenakan yuran khas (levy);
(c) membubarkan Kesatuan atau sebarang persekutuan Kesatuan-Kesatuan Sekerja atau Badan Perunding yang Kesatuan ini menjadi anggotanya;
(d) pindaan peraturan-peraturan Kesatuan jika pemindaan itu akan menyebabkan bertambah lagi tanggungan ahli untuk mencarum atau kurangnya faedah yang akan didapatinya;
(3) Seseorang ahli yang belum sampai 21 tahun umurnya tidaklah boleh menjadi pegawai atau Pemegang Amanah Kesatuan.
(4) Permohonan menjadi ahli hendaklah dibuat dengan mengisi borang yang ditentukan oleh Kesatuan dan menyampaikannya kepada Setiausaha Cawangan. Setiausaha Cawangan hendaklah menyampaikan permohonan itu kepada Majlis Jawatankuasa Agung untuk diluluskan. Majlis Jawatankuasa Agung menurut timbang bicaranya boleh menolak sebarang permohonan menjadi ahli dengan perlu memberi alasannya.
(5) Apabila permohonan seseorang itu telah diluluskan oleh Majlis Jawatankuasa Agung dan yuran masuk dan yuran bulanannya yang pertama telah dijelaskannya, maka namanya hendaklah didaftarkan dalam Daftar Ahli sebagai seorang ahli dan hendaklah diberikan senaskah buku Peraturan-Peraturan Kesatuan dengan percuma.
(6) Seseorang yang diterima masuk menjadi ahli dan kemudiannya berhenti dari pekerjaan yang ditentukan di dalam Peraturan 3(1) bolehlah menjadi Ahli Bersekutu supaya faedah di bawah Tabung Kebajikan (jika ada) boleh dibayar kepadanya atau penamanya. Seseorang yang tidak meneruskan keahlian sebagai Ahli Bersekutu atau seseorang yang telah dibayar faedah bersara hendaklah terhenti dari menjadi ahli kesatuan dan namanya hendaklah dikeluarkan dari Daftar Ahli.